Monday 2 June 2014

Perjalanan Menuju Mu

Ku berjalan kesepian meniti lorong-lorong kehidupan
Bertemankan bayu kasihNya yang menghembus perlahan
Ku mencari sinar suria agama dalam meraih teduh rahmatNya
Ku mencari sang pelangi iman untuk menerangi langkahku
Sebagai petunjuk dalam melalui simpang bahagia mahupun derita
Merentasi daerah fikiran mencari kematangan diri
Menerokai medan ilmu dalam menggapai kecemerlangan hakiki
Menyaksikan panorama dunia yang berbagai ciri keunikan
Sungguh indah alam ciptaanMu wahai Tuhan Yang Maha Indah
AlamMu dihiasi bunga-bunga yang sentiasa galak menguntum senyuman
Dihiasi unggas-unggas yang berlari riang bercanda sesama mereka
Dihiasi gunung-ganang yang sentiasa gah memaksi hamparan bumi
Serta dihiasi lautan yang beralun lembut berdendang zikir syahdu padaMu
Subhanallah, tiada yang lebih indah melainkan keindahanMu Ya Allah
Tetapi sayang hamparanMu itu telah dinodai oleh sejenis makhluk
Yang bernama manusia serta diiktiraf olehMu sebagai ‘Khalifah’
Terlalu banyak daripada mereka yang menjadi egois dan parasit
Berbanding yang berbudi mulia yang sentiasa redha denganMu
Mereka terpalit dengan hasutan liar fana yang menyesatkan
Yang menghambat kesenangan materialistik
Yang hanya menyeru kepada kehancuran dunia
Yang tidak mempunyai harga diri sendiri
Yang tidak pernah cukup bahkan selalu meminta
Yang tidak pernah syukur bahkan kufur
Banyak yang batil daripada yang zahir
Banyak yang nista daripada yang haq
Ramai yang ditindas daripada dibela
Ramai yang terseksa daripada bahagia
Ku terasa lelah mengekori arus pergolakan duniawi
Berhenti seketika di anjung sukma mencari nafas ketenangan
Cuba menjengah di balik sekeping jendela nurani
Aku terlalu asyik menghitung pada yang lain
Tanpaku sedar dimana letaknya tunjang diriku sendiri
Adakah dalam kebaikan ataupun sebaliknya
Jika diriku dipagari jeriji kemaksiatan padaNya
Takkan ku biar ia tetap teguh mendakap jiwa
Masihkah ada ruang untuk ku singkap kembali
Tirai dosa yang telah usang menghiasi tembok qalbu
Ya Allah ampunkanlah daku serta kami semua
Hembuskanlah bayu ketenangan mahabbahMu
Tetapkanlah hatiku agar terus istiqamah dalam kebaikan
Berikanlah petunjukMu pada yang lalai serta zalim
Lindungilah mereka yang lemah teranaiya
Aku mahukan kedamaian bertakhta di segenap jiwa
Sungguh hebat kanvas kembara hidup ini
Setiap apa yang berlaku terselit sejuta hikmah
Tamatnya sudah destinasi perjalananku kepadaMu
Perjalanan mencari identiti realiti menuju hakiki
Tiba saatnya ku mengadap mempersembah segala amalku
Sambutlah dingin rohku dengan hangat pelukan rahmatMu
Aku datang dengan sepenuh pengharapan kepadaMu Tuhan
Allah…

Penulis



Puisi Tulisan beliau sedikit sebanyak menyedarkan aku dari terus lalai akan dunia yang sementara ini yang penuh dengan ajenda jahiliah. . 

Puisi yang cukup indah .
Menceritakan maksud tersurat dan Tersirat

1 comment:

  1. Puisi yang sangat bermakna, penuh dengan nasihat dan peringatan. ^_^

    ReplyDelete